BENTONG – Polis giat mengesan tiga lagi individu dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di Sky Avenue, Genting Highlands, di sini, pada 10 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya telah pun menahan lapan suspek berhubung kejadian itu bagi siasatan lanjut.
“Mereka yang ditahan merupakan lima lelaki warganegara tempatan dan tiga lelaki warganegara asing berusia lingkungan 28 tahun sehingga 61 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Zaiham, kesemua mereka ditahan di sekitar Genting Highlands, Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau berkata, pihaknya merampas sebilah pisau dan sebatang besi yang dipercayai digunakan semasa kejadian terbabit.
“Polis sedang mengesan tiga lagi suspek dikenali sebagai Zhang He yang merupakan warganegara China, dan dua lelaki tempatan iaitu Gopala Krishnan a/L M Nadaraja dan Khoo Kim Fatt bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes dan keberadaan tiga individu berkenaan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) di talian 09-2222222 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan susulan video tular di media sosial berdurasi 55 saat memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki yang dipercayai berlaku di Sky Avenue, Genting Highlands.
Zaiham memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. – MalaysiaGazette
















