KUALA LUMPUR – DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) dikenakan denda berjumlah RM162,754,365.95 kerana kelewatan menghantar 68 kenderaan perisai Gempita dan dua kenderaan jenis B kepada Kementerian Pertahanan antara 2020 hingga 2023.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, tindakan itu diambil selepas syarikat kontrak koordinasi panel CCP menolak permohonan dan rayuan Deftech dengan beberapa lagi pada 6 Mei lalu.
“Bagi tempoh kelewatan tersebut, suatu notis tuntutan iaitu denda lewat berjumlah RM162,754,365.95 telah dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan pada 15 Januari 2025.
“Deftech telah mengemukakan maklum balas melalui Surat Betara 23 Januari 2025 dan merayu supaya denda lewat diketepikan atas alasan terdapat isu force major akibat pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine.
“Bagaimanapun syarikat ini dikenakan tuntutan denda berjumlah RM162,754,365.95 manakala bon pelaksanaan berjumlah RM53,928,571.43 dan baki nilai denda akan dituntut secara set off iaitu melalui kontrak semasa atau kutipan secara berasingan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pada sesi perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025.
Adly juga berkata, Kementerian Pertahanan juga mengarahkan pihak bank untuk merampas sejumlah wang jaminan bank RM53,928,375 untuk kepentingan di pihak kementerian itu.
“Kementerian Pertahanan juga akan mendapatkan baki denda lewat sebanyak RM108,825,795 melalui set off seperti mana yang kita sebutkan.
“Kita tahu syarikat ini mempunyai kontrak-kontrak lain di Kementerian Pertahanan, jadi jumlah itu jauh lebih besar daripada apa yang kita tuntut ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















