Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia mencegah dan menangani pelbagai ancaman luar yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.

Ini termasuk sebarang agenda yang dibawa oleh agensi perisikan asing yang mungkin cuba campur tangan atau mengganggu-gugat kestabilan dan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, PDRM turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di negara ini, termasuk mereka yang bermastautin atau berada atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.

“Terdapat insiden yang dilaporkan dan disiasat oleh PDRM yang disyaki didalangi oleh agensi perisikan asing.

“PDRM mengesan dua kes yang dilaporkan iaitu kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjaya api yang didalagi oleh kumpulan ini.

“Pelbagai mekanisme telah diambil oleh PDRM bagi memantau kemasukan warga negara asing yang masuk dari pintu masuk negara termasuk menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Interpol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khalid turut menasihatkan, warga Palestin yang menetap di Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran terpilih.

Mereka juga diminta melaporkan kepada polis sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri berkata terdapat keperluan untuk Malaysia mengambil langkah-langkah tambahan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan di sempadan negara.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat selepas beberapa insiden kehadiran ejen perisikan antarabangsa, terutamanya dari agensi perisikan Israel, Mossad, selain menjadi lokasi penyeludupan senjata dan dadah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengambil maklum bahawa Malaysia mungkin menjadi sasaran memandangkan negara sangat tegas dan lantang dalam menyuarakan keadilan untuk penduduk Gaza yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast