Logo Universiti Kebangsaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara di Parlimen semalam bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan berkenaan tatacara tadbir urus universiti.

Pusat Komunikasi Korporat UKM dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, universiti itu juga akan bertindak selaras dengan syor Jabatan Audit Negara agar menambah baik Garis Panduan Perolehan UKM berkaitan proses penilaian dan pemilihan kontraktor.

Menurutnya, ia bagi memastikan perkara itu selaras dan mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

“UKM memandang serius dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang melibatkan beberapa aspek ketidakpatuhan proses perolehan bagi projek-projek pembekalan perkhidmatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (НСТМ).

“Sebagai institusi pengajian tinggi awam yang berintegriti, UKM komited untuk memastikan setiap perbelanjaan diurus secara telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan kelmarin mendedahkan tiga daripada keseluruhan tujuh tender perolehan berjumlah RM66.64 juta membabitkan UKM tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Berdasarkan laporan itu, Jawatankuasa Perolehan Tender UKM didapati memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender.

Tindakan itu jelas menunjukkan terdapat ketidakaturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola membabitkan isu pembekalan, menghantar, memasang dan mentauliah sistem Linear Accelerator serta peralatan sokongan berserta kerja ubahsuai di HCTM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast