KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel merampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim (Ibrahimi Mosque) di Hebron (al-Khalil), Palestin daripada pihak Majlis Perbandaran Hebron.
Katanya, langkah provokatif itu mencabuli prinsip undang-undang antarabangsa dan ketetapan UNESCO yang telah mengiktiraf Masjid Ibrahim sebagai tapak warisan dunia sejak tahun 2017.
Tambah beliau, umat Islam Malaysia memandang serius perkembangan ini sebagai satu lagi bentuk kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin dan warisan umat Islam sejagat.
“Masjid Ibrahim merupakan antara tempat suci dan bersejarah bagi umat Islam seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, Israel merampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim itu dan menyerahkannya kepada Majlis Agama Kiryat Arba iaitu sebuah entiti penempatan haram Israel.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, beliau menyokong penuh gesaan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin agar dunia antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), segera mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan usaha haram Israel tersebut
Dalam masa sama, ujarnya, beliau turut mengalu-alukan ketegasan yang ditunjukkan oleh negara-negara seperti Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan itu.
“Kerajaan Malaysia menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan peringkat global untuk terus menyuarakan bantahan, berdoa serta menyumbang kepada usaha mempertahankan Masjid Ibrahim dan seluruh bumi Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel,” katanya. – MalaysiaGazette
















