KUALA LUMPUR – Seramai 42 jemaah umrah Malaysia yang terdiri daripada warga emas dan penjawat awam dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai selepas mendakwa menjadi mangsa pemalsuan dokumen tiket penerbangan pulang oleh sebuah agensi pelancongan tempatan.
Mereka yang sepatutnya berlepas pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan ibadah umrah dan ziarah ke Taif, terkejut apabila dimaklumkan bahawa tiket penerbangan mereka tidak wujud walaupun bayaran penuh pakej telah dibuat kepada syarikat pengendali umrah, Persada Global Holidays (PGH).
Menurut salah seorang jemaah, semasa taklimat akhir sebelum keberangkatan pulang yang dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, wakil pengurusan PGH meminta setiap jemaah menambah bayaran sebanyak RM2,300 bagi tujuan pembelian tiket penerbangan baharu atas alasan syarikat kehabisan dana.
“Ini amat mengejutkan kerana kami sudah membayar antara RM9,000 hingga RM12,000 seorang untuk pakej umrah. Ada juga ahli keluarga yang tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran balik diterima walaupun ada yang telah membuat pembayaran antara RM30,000 hingga RM90,000,” katanya kepada media.
Lebih mengharukan, terdapat jemaah yang turut membeli pakej tren laju (Haramain High-Speed Railway) dari Madinah ke Makkah.
Namun, pada 20 Julai lalu, semasa perjalanan ke Makkah, tiket tren tersebut tidak disediakan seperti yang dijanjikan, menyebabkan semua jemaah terpaksa menaiki bas.
Malah, penginapan lima bintang atau setaraf yang dijanjikan di Taif juga didakwa tidak menepati standard.
Kini, jemaah terpaksa berpindah-randah dari satu hotel ke hotel lain termasuk servis apartmen di sekitar Jeddah, menggunakan wang ditanggung oleh mutawif.
Kumpulan jemaah berkenaan diketuai oleh seorang mutawif yang juga bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim 2015, PU Abu Sufiyan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan wakil Kedutaan Malaysia di Jeddah dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut yang bukan sahaja gagal menyelesaikan isu tiket jemaah, malah masih belum melunaskan bayaran gaji mutawif yang terlibat.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada beberapa siri penangguhan tarikh keberangkatan jemaah sejak Syawal, yang kemudiannya ditukar ke musim haji dan seterusnya selepas haji tanpa penjelasan kukuh daripada pihak pengendali.
Kumpulan jemaah kini masih berada di Jeddah dan mengharapkan bantuan segera dapat disalurkan bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Persada Global Holidays. – MalaysiaGazette
















