KUANTAN – Pelakon dan pengacara kelahiran Pahang, Azhar Sulaiman menawarkan diri jika pihak kerajaan berhasrat menambahbaik infrastruktur dan hiasan dalaman Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS).
Anak kelahiran Bentong yang juga merupakan arkitek dan pereka itu berpendapat lapangan terbang berusia lebih 50 tahun itu perlu diberikan nafas baharu dengan hiasan lanskap lebih menarik.
“Pandangan saya, Kuantan tidak perlukan lapangan terbang baru sekarang, tapi kemudian hari. Airport Kuantan hanya perlu di revamp kembali sahaja dan ditambah baik few items here and there untuk memberi experience yang manis kepada end users,” katanya yang mesra dengan panggilan Beha dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain menawarkan diri untuk terlibat jika projek tambahbaik LTSAS itu berlaku, Azhar turut memberikan cadangan penglibatan arkitek luar negara antaranya Norway dan Ireland bagi tujuan tersebut.
Beliau juga mencadangkan supaya rekaan hiasan dalaman lebih menarik sesuai dengan negeri Pahang yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dilaksanakan di lapangan terbang dengan kepanjangan landasan hampir 3,000 meter itu.
“Buatlah Airport Kuantan dengan rasa macam kita pergi Hawaii. With nice landscaping and nice plants and trees – Airport In The Garden,” katanya lagi.
Sebagai rekod, LTSAS yang dirasmikan pada 27 Oktober 1974 oleh Almarhum Sultan Pahang ketika itu pada asalnya dibina untuk tujuan ketenteraan. – MalaysiaGazette
















