Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyeru pimpinan kerajaan supaya bermuhasabah dan merendah diri berikutan Himpunan Turun Anwar kelmarin.

Perkara itu disuarakan beliau dalam sajak ‘Ku Pohon Maaf Kepada Rakyat’ yang dimuat naik dalam Facebook miliknya hari ini.

Menerusi sahak itu, beliau mengakui perjuangan selama 25 tahun untuk menjadi kerajaan tidak seharusnya melupakan asal-usul dan ikrar murni yang pernah dilafaz ketika menjadi pembangkang.

“Ku pohon maaf kepada rakyat, dari mercu Parlimen ini. Dua puluh lima tahun, kita berusaha menjadi kerajaan.

“Kita turun ke jalan raya berkali-kali. Kita impikan pemimpin kita jadi Perdana Menteri,” tulisnya dalam sajak tersebut.

Hassan turut menyentuh mengenai perhimpunan besar-besaran yang berlangsung kelmarin yang menunjukkan kemarahan rakyat.

“Tetapi semalam, dua puluh lima ribu massa berhimpun. Kita menjadi sasaran kemarahan rakyat jelata. Perdana Menteri kita disuruh turun. Ada hikmah di sebalik ini semua,” katanya lagi.

Dalam bait-bait seterusnya, beliau menekankan keperluan untuk pemimpin merendah diri dan kembali menginsafi asal perjuangan.

“Kita tidak selalunya betul. Janji kita ditagih. Mungkin ada yang kita mungkiri selama ini.

“Jika tidak takkan rakyat menjerit berulang kali. Mereka telah dikhianati. Jadi eloklah kita merendah hati. Marilah kita bermuhasabah diri,” luahnya.

Beliau juga mengingatkan walaupun kerajaan hari ini tidak seburuk yang disangka namun belum cukup baik untuk mendabik dada.

“Kita tidakkah terlalu buruk. Tetapi kita juga tidaklah baik sangat. Masih ada masa untuk meluruskan yang bengkang bengkok.

“Kembalilah kita ke jalan yang benar. Jika kita masih mencari kemenangan,” katanya secara berkias dalam sajak tersebut.

Sajak itu yang berakhir dengan seruan agar pemimpin kembali kepada nilai ikhlas dan jujur seperti saat tiada kuasa, menyampaikan pesanan yang tajam namun jujur.

“Rakyat tidak pernah silap. Yang mudah lupa kita yang elit dan sekarang jadi sang penguasa,” tulisnya lagi.

Baru-baru ini dalam Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Dataran Merdeka kelmarin, polis memaklumkan seramai 18,000 orang menghadiri himpunan aman tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast