KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kesalahan sebenar bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin sehingga usaha merampas dan memburukkan namanya berterusan walaupun telah meninggal dunia.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Anwar tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman ke atas Daim sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh mahkamah selepas perbicaraan.
Beliau turut menempelak Anwar yang mana tindakan merampas harta seseorang tidak boleh dilakukan hanya kerana perasaan ragu seorang Perdana Menteri, kerana ia menyalahi undang-undang selain disifatkan sama seperti mencuri.

“Walaupun nama tidak disebut tetapi harta yang dirampas memang milik Tun Daim. Menjadi hak dan tanggungjawab masyarakat menjelas kesalahan Kerajaan.
“Tun Daim sudah tidak ada. Oleh itu beliau tidak dapat pertahan diri. Kerana itu Kerajaan Anwar dapat menuduh dengan selamat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, semua mengetahui Daim sememangnya sudah kaya sebelum menjadi menteri dan dalam proses menyerahkan perniagaannya kepada pihak lain semasa menjadi menteri.
Apabila tidak lagi menjadi menteri, kata beliau, Daim kembali berniaga dan bagi mengelak dituduh mendapat keistimewaan, Allahyarham berniaga di luar negara.
Malah, ujarnya, Daim juga tidak terlibat denga apa-apa skandal di negara di mana beliau berniaga.
“Kalau mereka tidak ragu, tidak menuduh apa-apa kesalahan Daim, bagaimana Perdana Menteri Malaysia boleh ragu, buat tuduhan dan menjatuh hukum.
“Kabinet juga tidak ada hak menghukum,” katanya.
Dalam masa sama, Dr. Mahathir menyelar Anwar kononnya mahu membawa pulang wang Daim untuk rakyat sedangkan tiada undang-undang yang memberi hak kepada Kerajaan Malaysia merampas harta rakyat Malaysia di luar negara untuk apa tujuan sekali pun.
Ironinya, dakwa beliau, apa yang sedang dililhat rakyat sekarang adalah bagaimana kroni Anwar mendapat kontrak kerajaan bernilai berbillion ringgit.
“Ada pula orang yang sedang dituduh seleweng duit Kerajaan yang tiba-tiba ditarik balik tuduhan. Kalau ini bukan rasuah apakah makna rasuah.
“Anak Perdana Menteri diberi jawatan tanpa proses biasa,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir menempelak Anwar supaya berhenti mendabik dada kononnya merupakan pejuang rasuah, sedangkan beliau sendiri merestui amalan rasuah, nepotisme dan kronisme. – MalaysiaGazette
















