Diviya Tarshini mohon sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan jantung.

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan berusia sebulan memerlukan sumbangan orang ramai bagi menjalani pembedahan jantung segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya.

Y. Diviya Tarshini berasal dari Sungai Bakap dekat sini merupakan penghidap masalah jantung berlubang yang dikesan sejak lahir pada 28 Jun lalu.

Ibunya, D. Thurka Nanthini, 26, berkata, doktor mengesan degupan jantungnya lemah selepas dilahirkan sebelum dikejarkan ke wad unit rawatan rapi neonatal (NICU) kerana kekurangan oksigen.

Menurut doktor, anaknya disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital jenis sianotik yang sangat kompleks iaitu Transposition of the Great Arteries (TGA), Ventricular Septal Defect (VSD), Atrial Septal Defect (ASD) dan Patent Ductus Arteriosus (PDA).

“Pembedahan kecemasan juga telah dilaksanakan semasa usianya lima hari, selain doktor memaklumkan bahawa Diviya Tarshini perlu menjalani pembedahan transposisi arteri besar (ASO) sebelum usianya enam minggu termasuk membaiki lubang di jantung dan menutup saluran arteri yang belum tertutup.

“Kami sekeluarga bagaimanapun tidak mampu membiaya sendiri kos pembedahan itu yang memerlukan wang RM110,000,” katanya.

Tambahnya, mereka terpaksa merayu bantuan orang ramai agar pembedahan dapat dijalankan yang ditetapkan tarikh pada 31 Julai minggu ini demi menyelamatkan nyawa Diviya Tarshini.

Sementara itu, Pengerusi badan amal, One  Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bapa bayi, R. Yogendren, 27, yang turut mempunyai masalah degupan jantung perlahan bekerja sebagai jurujual selain ibunya operator kilang.

“Pasangan muda itu juga perlu menanggung bayaran sewa rumah, ansuran kereta dan kos rawatan susulan anak mereka,” katanya.

Justeru orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3193433435) atau melalui laman web onehopecharity.org.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast