Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 yang bertujuan untuk mengatasi isu kemerosotan stok perikanan dengan berkesan melalui pendekatan pengurusan secara menyeluruh.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 29 Ahli Parlimen dalam kalangan pihak kerajaan dan pembangkang sehingga jam 7.45 malam tadi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pindaan itu meliputi enam perkara utama, antara lain bagi membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU).

“Pindaan ini akan memperketatkan kawalan ke atas vesel tempatan dan asing, termasuk aktiviti pemuatan dan pemunggahan, pemindahan ikan serta penyelenggaraan dan pembekalan kapal.

“RUU ini penting untuk mencegah sebarang aktiviti perikanan di kawasan tercemar demi menjamin keselamatan rantaian makanan negara,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 di mana kali terakhir Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dipinda pada 2019.

Ketika itu, pindaan dibuat untuk memperluaskan punca kuasa kawal selia ke atas vesel penangkapan ikan tempatan di laut lepas serta menaikkan kadar denda bagi kesalahan melibatkan vesel penangkapan ikan asing.

Mohamad berkata, pindaan RUU itu dibuat untuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan taman laut dan rizab laut bagi memenuhi obligasi negara terhadap instrumen antarabangsa.

“RUU ini bagi menaikkan kadar hukuman umum sedia ada bagi menambah baik, memantap, membolehkan tindakan tegas diambil dan hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku kesalahan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap Akta 317 serta peraturan-peraturan di bawahnya.

“Pindaan itu turut dibuat untuk memperjelas pemakaian Akta 317 ke seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya serta menyokong pelaksanaan intervensi yang lebih tepat melalui kutipan data dan maklumat yang sahih,” katanya.

Selain itu, kata Mohamad, RUU Perikanan (Pindaan) 2025 mengandungi sebanyak 47 fasal dibuat sebagai sebahagian daripada reformasi dasar dan perundangan dalam memperkukuh kawal selia sektor perikanan negara.

“RUU ini telah memperuntukkan langkah-langkah bagi menangani isu pelesenan serta penggunaan peralatan yang tidak lestari.

“Kuasa Ketua Pengarah diperkukuh bagi tujuan penetapan syarat-syarat teknikal vesel, pemantauan pergerakan dan penguatkuasaan pematuhan lesen, dengan sokongan sistem pemantauan berasaskan data.

“Berdasarkan status semasa stok perikanan negara, beberapa zon dikenal pasti mengalami tekanan sumber yang kritikal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast