Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersepadu melibatkan beberapa kementerian dan pihak berkuasa bagi menangani peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara menyeluruh, tegas dan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, ujar beliau, kerajaan juga akan menganjurkan Seminar Perlindungan Kanak-Kanak: Menangani Ancaman Siber dan Jenayah Seksual pada November depan bagi menangani isu tersebut.

Tambahnya, kerajaan memandang serius peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang melonjak daripada 2,541 kes pada 2020 kepada 3,892 kes pada 2024, iaitu peningkatan 53.2 peratus.

Jelas beliau, jumlah mangsa juga meningkat daripada 2,561 orang kepada 3,988 orang, iaitu peningkatan sebanyak 55.7 peratus dalam tempoh yang sama.

“Perkembangan teknologi dan revolusi industri telah memperlihatkan modus operandi jenayah yang semakin canggih, termasuk penggunaan teknologi deepfake dan pencurian identiti digital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Sosial Negara (MSN) mempengerusikan Mesyuarat MSN Bilangan 2/Tahun 2025 iaitu platform penting dalam menyelaras pelaksanaan dasar sosial secara menyeluruh dan rentas kementerian, seiring komitmen Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat yang inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.

Menurut Ahmad Zahid, majlis tersebut turut meneliti isu gelandangan yang mengalami gangguan mental tetapi terlepas daripada intervensi rawatan akibat ketiadaan penempatan khas.

Tambahnya, majlis itu menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa (taskforce) bagi membina rumah jagaan kejururawatan psikiatri.

“Mesyuarat juga telah meneliti dan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras isu pendaftaran, keselamatan, kesihatan serta strategi kurikulum dan tenaga pengajar.

“Ini langkah strategik ke arah sistem pendidikan awal kanak-kanak yang lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, tambah Ahmad Zahid, mesyuarat itu turut meneliti isu ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan yang mana laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan seramai 2.06 juta graduan kini bekerja dalam sektor yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.

Bagi menangani isu ini secara strategik, ujarnya, inisiatif MyMAHIR yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp telah dilancarkan.

Setakat ini, jelasnya, sebanyak 66 program latihan berteraskan industri telah diluluskan di bawah Majlis Bakat Kemahiran Masa Hadapan MyMAHIR merangkumi sektor-sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi hijau.

“Program ini bukan sahaja menyediakan latihan berkemahiran tinggi, malah disertakan jaminan pekerjaan dengan purata gaji permulaan RM3,000 sehingga RM6,000 sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast