YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden Repulik Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka semasa lawatan kerja dua hari di Jakarta. 29 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memperhebat kerjasama melalui kerangka Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keutamaan Malaysia tetap kekal pada keselamatan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Kita seharusnya tidak boleh alpa dan lalai, apatah lagi menyerahkan nasib rantau ini ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, beliau memulakan acara pertama di Jakarta, Indonesia hari ini dengan membawa amanah rakyat Malaysia dan semangat serumpun yang mendalam dengan menghadiri Perundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden Repulik Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka semasa lawatan kerja dua hari di Jakarta. 29 Julai 2025. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Menurut Anwar, dalam suasana dunia yang semakin rencam hari ini, kedua-dua negara berkeyakinan bahawa kekuatan rantau ini harus diperkukuh melalui muafakat strategik yang teguh, berani dan berwawasan.

Tambahnya, beliau dan Prabowo turut menyentuh banyak isu penting hari ini melibatkan sasaran perdagangan AS$30 bilion antara kedua-dua negara hingga ke soal kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), akses lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong, serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama.

“Kesemua isu ini dilakar dengan niat bagi mempercepat manfaat kepada rakyat yang hidup di garis sempadan, tidak hanya sekadar angka atas kertas,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Anwar, beliau turut menekankan bahawa pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berpaksi pada semangat tulen memperkukuh kesejahteraan rantau.

Katanya, Malaysia berhasrat untuk menjadi rakan yang jujur dan amanah dalam pembangunan, dari soal tenaga boleh baharu, infrastruktur, perumahan hingga ke soal pendidikan dan teknologi.

“Malaysia ternyata bukan sekadar tamu sementara, malah kita adalah saudara yang datang bersama cita-cita masa depan,” katanya.

Tambah beliau, dalam soal keselamatan pula, kedua-dua negaar bersetuju untuk memperhebat kerjasama melalui kerangka TCA bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Ujar Anwar, beliau turut menegaskan bahawa keutamaan Malaysia tetap kekal pada keselamatan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan.

“Kita seharusnya tidak boleh alpa dan lalai, apatah lagi menyerahkan nasib rantau ini ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian,” katanya.

Sementara itu, menurut Anwar, beliau dan Probowo turut menyentuh keperluan dalam menyatukan suara dalam sejumlah isu global seperti kempen anti-sawit dan pembantaian di Gaza.

Tegasnya, dunia mesti menyedari bahawa Malaysia dan Indonesia tidak sesekali gentar menyanggah ketidakadilan kerana kita bukan hanya negaea membangun tetapi negara bangsa yang bermaruah.

“Jelas kunjungan kali ini ke Jakarta tidak sekadar lawatan kerja, tetapi penyataan bersama bahawa Asia Tenggara mesti dipimpin dengan tegas dan yang menggarap denyut nadi rakyat serta berani menongkah arus demi masa depan rantau yang adil, stabil dan makmur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast