Lawrence Low

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin DAP digesa mengemukakan cadangan konstruktif untuk membantu kerajaan merealisasikan janji pemansuhan tol yang pernah dilaungkan sebelum ini, kata Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low.

Beliau merujuk kepada jawapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat semalam yang menjelaskan langkah memansuhkan tol bukan sesuatu yang mudah kerana membabitkan kos yang terlalu tinggi.

Beliau berkata, jika DAP gagal mengemukakan sebarang pelan atau cadangan yang realistik, parti itu sepatutnya memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan mengakui mereka telah menipu semata-mata untuk meraih undi pada pilihan raya lalu.

“DAP kini mempunyai 40 Ahli Parlimen. Jika mereka tidak mampu bantu cari penyelesaian, mereka patut tampil minta maaf kepada rakyat atas janji palsu yang ditaburkan,” katanya dalam kenyataan.

Tegas beliau, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika terus menuntut janji-janji dan manifesto yang pernah dilafazkan, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

Lawrence turut menyatakan kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan terutama menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Tambahnya, dasar-dasar negara perlu dirangka berdasarkan input daripada pelbagai pihak termasuk wakil persatuan pengguna, pemain industri, komuniti peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan B40 dan M40, masyarakat luar bandar serta belia.

“Sesi libat urus yang dijalankan harus benar-benar didengar dan diterjemahkan dalam bentuk dasar yang mesra rakyat dan fleksibel, demi kepentingan negara secara menyeluruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Turunkan kadar tol lebih realistik daripada mansuh – Alexander

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast