Dua anggota polis direman selama tujuh hari selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian yang dijalankan.

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis direman selama tujuh hari selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian yang dijalankan.

Perintah reman sehingga 5 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi hari ini selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira  2 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat meminta dan menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu.

“Rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian yang dilakukan individu terbabit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast