KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen terus membangkitkan satu lagi insiden kematian membabitkan pelajar di sekolah yang perlu mendapat perhatian masyarakat di negara ini.
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mendakwa, insiden kematian seorang murid tingkatan empat, Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful di sebuah sekolah sukan kurang diberi perhatian.
Dakwanya lagi, insiden disebabkan lepas ketika menjalani aktiviti pemulihan selepas latihan bola sepak sudah berlarutan lapan bulan lalu namun masih belum ada sebarang perkembangan terkini berkaitan kes itu.
“Saya bawa perkara ini ke dewan yang mulia ini bagi pihak rakyat marhaen yang memohon supaya pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian kepada kes ini.
“Sayu saya mendengar rintihan ibu bapa arwah. Mereka menyatakan terdapat terlalu banyak persoalan di sebalik kejadian itu. Sebagai contoh, pelaksanaan aktiviti recovery selepas latihan di dalam kolam terjun sedalam lima meter menjadi tanda tanya.
“Apakah ini SOP (prosedur operasi standard) kementerian? Lebih menyedihkan, kedua ibu bapa menyatakan tidak ada pemimpin kanan KPM hadir untuk menziarahi dan memberi penjelasan kepada keluarga.
“Mereka cuma ingin mendapat pembelaan terhadap apa yang berlaku kepada arwah Zulfan,” katanya yang juga bekas Menteri Pendidikan ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pengurusan tertunggu KPM dapat turun bertemu kedua ibu bapa arwah Zulfan.
“Jangan kerana isu ini tidak viral maka keluarga arwah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kalau hendak tunggu isu ini viral baru hendak diambil langkah segera, maka saya mohon rakyat Malaysia bantu viralkan.
“Kepada saudara Zaiful dan isteri, Puan Zullaila, saya rekodkan di Dewan ini mengenai apa yang berlaku. Semoga akan ada pembelaan untuk arwah Zulfan,” katanya.
April lalu, keluarga Allahyarham Zulfan Iqbal yang meninggal dunia akibat lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor mendakwa terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian arwah.
Bapa arwah, Zaiful Ibrahim, 53, tampil membuat laporan polis dengan ditemani peguam, Hafiz Norkhan di Balai Polis Jalan Tun Razak, Johor Bahru.
Katanya, berdasarkan makluman pihak sekolah, anaknya dipercayai lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter.
“Ketika dikeluarkan dari kolam, arwah tidak sedarkan diri serta mengalami pendarahan di mulut, hidung dan telinga,” katanya dalam satu kenyataan.
Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, merupakan pelajar tingkatan empat dan atlet bola sepak bawah 16 tahun di SSTMI, Johor.
Difahamkan, bakat arwah sebagai penjaga gol membuatkannya berada dalam radar pemantauan pasukan Johor Darul Ta’zim. – MalaysiaGazette
















