KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM450 juta setahun bagi keperluan menambah baik kemudahan perumahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sehingga tahun 2030
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah tersebut mencukupi untuk menyelesaikan segala masalah berkaitan perumahan membabitkan anggota tentera.
“Jika kita sama-sama menyedari soal rumah ini, diharap masa bahas RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), dapat dipastikan sehingga 2030 untuk penyelenggaraan rumah anggota tentera, setiap tahun sekurang-kurangnya kena diberikan peruntukan RM450 juta, maka selesailah semua masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang bertanyakan perancangan jangka panjang Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menyelesaikan semua permasalahan masih membelenggu perumahan anggota tentera pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum itu menjawab soalan asal Manndzri Nasib (BN-Tenggara), Khaled berkata, MINDEF merancang membina sebanyak 12,733 unit RKAT baharu sehingga 2030 tertakluk keupayaan semasa kewangan kerajaan berdasarkan Blueprint Perumahan 3.0.
“Sejak 2022, sebanyak enam Projek Bina Baru RKAT membabitkan 2,812 unit baru di seluruh negara sudah siap dibina oleh MINDEF.
“Selain daripada itu, sebanyak 10 buah Projek Bina Baru RKAT di bawah RMK-12 yang membabitkan 3,206 unit baru di seluruh negara sedang dalam proses pembinaan, membabitkan kos RM1.002 bilion, akan dijangka siap menjelang 2026.
“Seterusnya, sebanyak lapan projek bina baru RKAT yang membabitkan 2,456 unit baharu masih dalam fasa perolehan dan ini membabitkan RM1.4 bilion,” katanya.
Khaled berkata, bilangan unit RKAT yang diselenggara adalah 19,978 unit pada 2023 dan 20,954 unit pada 2024 sementara menyasarkan penyenggaraan sebanyak 11,607 unit lagi pada tahun ini.
“MINDEF juga menyasarkan sebanyak 55,622 unit RKAT akan melalui proses senggaraan menjelang 2030.
“Turut diberi perhatian keperluan senggaraan 38 sekolah dalam kem dan menyambut baik peruntukan khas RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur sekolah berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















