KUALA LUMPUR – Selepas lebih lima tahun terbengkalai, projek Residensi Hektar Gombak akhirnya disambung semula hari ini dengan suntikan dana baharu berjumlah RM125 juta.
Penyambungan semula projek ini bakal membuka lembaran baharu buat 2,400 pembeli rumah yang sekian lama menanti dengan penuh harapan.
Projek perumahan mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) yang bermula sejak 2018 itu gagal disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada tahun 2022.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerja pemulihan kini dimulakan semula serta-merta dengan pelantikan kontraktor utama baharu iaitu Bina Permai Sdn Bhd.
“Saya nak maklumkan kerja-kerja pemulihan bermula hari ini juga. Pekerja sudah pun masuk ke tapak dan kerja telah pun dimulakan. Kita sasarkan penyerahan kunci pada tahun 2027.
“Ini adalah antara projek terbengkalai yang terbesar dengan 2,400 unit dan lebih 10,000 orang terkesan. Tidak ada siapa pun datang bantu sehinggalah Kerajaan Madani ditubuhkan.

“Jadi, ini peluang terakhir kepada pemaju. Jika masih gagal serah kunci pada 2027, saya akan guna kuasa menteri untuk senarai hitam pemaju dan ahli lembaga pengarahnya,” tegasnya ketika sidang media lawatan kerja ke Residensi Hektar Gombak pada hari ini.
Kor Ming turut menegaskan langkah menyelamatkan projek Residensi Hektar ini adalah sebahagian daripada usaha besar-besaran kerajaan untuk menangani projek-projek terbengkalai.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 1,127 projek swasta terbengkalai telah berjaya diselamatkan, membabitkan 135,211 pembeli rumah dengan nilai pembangunan keseluruhan mencecah RM106.4 bilion.
Selain Residensi Hektar, KPKT juga berjaya menyelesaikan projek Taman PRR Putera Kiansom, Sabah yang sebelum ini tertangguh selama 22 tahun, serta pelaksanaan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani di Bestari Jaya, Selangor, khas sebagai penyelesaian isu pemilikan rumah 247 orang pekerja ladang di kawasan tersebut yang telah berlarutan selama 27 tahun.
Ujarnya, KPKT akan terus memainkan peranan aktif dalam menyelia kemajuan projek ini dan memastikan pemaju mematuhi pelan pemulihan yang telah ditetapkan, sekaligus memberikan kelegaan dan keyakinan kepada pembeli yang terlibat. – MalaysiaGazette
















