Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah diluluskan di Dewan Rakyat di sini dalam usaha memperkukuhkan reformasi pendidikan negara ini

RUU yang dibentangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 34 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang hari ini.

Fadhlina ketika menggulung perbahasan itu berkata, pelaksanaan RUU itu turut merangkumi institusi pendidikan swasta berdaftar dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) apabila dikuatkuasakan kelak.

Beliau berkata, ia merangkumi sekolah swasta melaksanakan kurikulum kebangsaan, sekolah menengah agama swasta, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat dan sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negara.

Menurutnya, institusi pendidikan menengah rendah dan atas yang berdaftar dengan mana-mana undang-undang bertulis lain juga termasuk dalam institusi pendidikan boleh diikuti murid bagi mematuhi ketetapan pendidikan menengah wajib.

“Ruang advokasi dan sesi libat urus dipanjangkan supaya semua pihak terbabit dapat memahami intipati dan hasrat pelaksanaan RUU ini. Mereka harus mematuhinya dan melihatnya sebagai antara mekanisme serta intervensi penting pendidikan negara.

“Mengenai persekolahan di rumah, memang ada pengecualian berdasarkan justifikasi dan keadaan menyebabkan murid perlu diberikan pengecualian dan kebiasaannya berdasarkan case by case.

“Kita tiada masalah untuk memperluaskan perihal mengenai pengecualian ini supaya justifikasi, ruang dan peluang murid tidak dipinggir atau didiskriminasi atas apa-apa alasan pun,” katanya.

Mengenai institusi pendidikan tidak berdaftar, Fadhlina mengakui, sesi penjelasan berhubung pemakaian RUU berkenaan kepada ibu bapa dan pemilik institusi terbabit perlu dilakukan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meyakinkan pemilik institusi pendidikan terbabit untuk berdaftar supaya kurikulum standard dapat ditawarkan selain mengawal isu berlaku dalam sekolah berkenaan.

Katanya, KPM juga sedia membantu proses pendaftaran terbabit, selain memaklumkan perkara sama sudah diperjelaskan kepada kerajaan negeri supaya pentadbiran di peringkat negeri dapat membantu proses berkenaan.

“Ramai menyentuh mengenai isu buli dan sebagainya, ini mestilah tertakluk kepada peraturan dan apabila mereka menggunakan kurikulum sama, kita dapat buat sedikit direction dan pedoman kepada sekolah ini.

“Kebimbangan saya apabila mereka tidak berdaftar, ketetapan RUU akan terpakai kepada ibu bapa murid terbabit. Ini perlu diperjelaskan kepada ibu bapa dan pemilik institusi terbabit supaya mereka berdaftar dengan KPM,” katanya.

Fasal 2 RUU bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 550 bagi menggantikan takrif ‘pendidikan wajib’ termasuk pendidikan menengah.

Fasal 3 pula bertujuan meminda Seksyen 29A(2) Akta 550 bagi memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya adalah warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan di sekolah rendah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan rendah.

Pendaftaran itu perlu dibuat jika anak terbabit sudah mencapai umur enam tahun pada hari pertama Januari dalam tempoh persekolahan ketika didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah.

Fasal 4 bertujuan memasukkan seksyen baharu 32A iaitu mengenai pendidikan menengah wajib ke dalam akta itu, bertujuan memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan menengah menjadi menjadi pendidikan wajib.

Selain itu, mengecualikan mana-mana murid atau pelajar daripada kehendak supaya mengikuti pendidikan wajib dan membuat peraturan melaksanakan peruntukan berhubung pendidikan menengah wajib.

Seksyen sama juga memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah sepanjang tempoh berkenaan serta penalti bagi pelanggaran Subseksyen 32A(2) dicadangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast