KUALA LUMPUR – Kes pencabulan hak asasi kemungkinan besar boleh dibawa semula bagi siasatan dan pendengaran termasuk yang diklasifikasi sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) seperti kematian Teoh Beng Hock menerusi cadangan penubuhan Tribunal Hak Asasi Manusia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, tribunal itu juga dijangka memberi ruang kepada jawatankuasa kajian yang ditubuhkan untuk meneliti mempertimbangkan pelaksanaan syor dan dapatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Katanya, tribunal itu juga akan dipastikan mempunyai asas perundangan kukuh dan boleh bertindak terhadap kes-kes pencabulan hak asasi walaupun masih terlalu awal untuk menentukan parameter tribunal tersebut di mana rundingan bersama pihak berkepentingan sedang giat dijalankan.
“Saya berpandangan bahawa adalah penting syor-syor atau pandangan SUHAKAM tidak dibiarkan dengan begitu sahaja tetapi dilaksanakan.”Khusus kepada apa yang ditanya (kematian Beng Hock), saya percaya apabila ia mencabuli hak asasi, saya rasa perkara itu adalah dirangkumi dalam tribunal bila ia ditubuhkan.
“Walaupun pada setakat ini, ia terlalu awal untuk dikatakan kerana kerangka, asas dan paremeter belum lagi ditentukan. Itulah sebabnya kita melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan. Tetapi saya sependapat dengan Yang Berhormat bahawa perkara-perkara ini boleh disiasat dan tindakan susulan boleh diambil. Kenapa saya berkata demikian kerana amalan ini dilaksanakan di negara-negara lain, maka negara-negara ada tribunal mereka boleh menyiasat perkara sedemikian.
,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang bertanyakan apakah kes seperti kematian Beng Hock, boleh didengarkan semula jika Tribunal Hak Asasi Manusia ditubuhkan kelak.
Beng Hock ditemui maut di bangunan Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14, bangunan sama pada da 16 Julai 2009.
Sebelum ini, Suhakam menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) dan polis mengkaji semula keputusan mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai NFA.
Menjawab soalan asal Teresa, Kulasegaran memberitahu Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) telah ditubuhkan pada Jun 2025.
Menurut beliau, kajian kebolehlaksanaan penubuhan tribunal berkenaan telah mula dilaksanakan dan dijangka siap pada Oktober 2025.
Selain itu, JKKTHAM ini juga meneliti pelbagai perspektif, pandangan dan input berkaitan aspek-aspek yang relevan dengan usaha ini, tambah Kulasegaran.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa penubuhan tribunal adalah selari dengan Perlembagaan, serta mengambil kira pandangan dan aspek pematuhan kepada syariah Islam. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL