KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang melancarkan inisiatif Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan sempena Hari Pahlawan, hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif yang akan bermula tahun hadapan itu khusus buat 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetap di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi tujuan tersebut sebagai penghormatan dan penghargaan di atas jasa serta pengorbanan para veteran ATM dan PDRM selama ini.
“Setiap penerima akan menerima manfaat kad kesihatan bernilai RM500 ringgit seorang.
“Ia boleh digunakan untuk rawatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, saringan kesihatan dan perkhidmatan di klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Minum Petang Bersama Veteran ATM dan PDRM di Tanjung Lumpur, di sini petang tadi.
Menurut Wan Rosdy, inisiatif itu merupakan cerminan semangat Aspirasi Pahang 1st iaitu membangunkan negeri secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kelompok, apatah lagi kelompokyang pernah berjasa.
“Pada hari ini juga, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM50,000 kepada Persatuan Veteran PDRM dan RM50,000 kepada Persatuan Veteran ATM untuk menjalankan aktiviti-aktiviti mereka,” tambahnya.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak pihak,sama ada agensi, syarikat, mahupun individu untuk tampil memberikan sokongan kepada komuniti veteran sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan, peluang ekonomi serta sokongan sosial. – MalaysiaGazette
















