KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa isu hantaran satira melibatkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim yang dimuat naiknya baru-baru ini kini semakin reda selepas beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat itu, pihaknya kini sedang meneliti segala kemungkinan dan telah mengumpulkan bahan-bahan berkaitan sebagai persediaan menghadapi tindakan lanjut berhubung isu berkenaan.
“Nampak isu sudah semakin reda. Bahan-bahan pun sudah banyak dikumpulkan. Hari ini, mula uruskan LOD (surat tuntutan) untuk dua orang terlebih dahulu – seorang Ahli Parlimen dan seorang pimpinan sayap pemuda sebuah parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, tindakan itu diambil susulan penyebaran tohmahan terhadap dirinya yang didakwa bersandarkan kepada pemahaman yang salah terhadap hantaran tersebut.
Malah beliau turut memuat naik semula hantaran asal bertarikh 26 Julai lalu yang sebelum ini telah dipadamkan.
“Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,” tulisnya.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli mencetuskan kontroversi apabila memuat naik satu ilustrasi yang dianggap menghina peranan Malaysia dalam usaha diplomatik meredakan ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja, selaku Pengerusi ASEAN.
Ilustrasi berkenaan memaparkan seekor monyet berjubah hakim menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri, simbolik yang dikatakan sebagai sindiran kepada penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam misi pendamaian itu.
Susulan itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi menyifatkan Ahmad Fadhli sebagai “pengkhianat negara” dan mendesak agar tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa terhadapnya.
Namun, Ahmad Fadhli menegaskan, beliau tidak berhasrat memohon maaf atas hantaran tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan susulan laporan yang telah dibuat. – MalaysiaGazette
















