Perkarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025. (GAMBAR HIASAN)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam memberikan ganti rugi berjumlah RM194,170 kepada keluarga seorang bekas pengawal keselamatan yang meninggal dunia dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), enam tahun lalu.

M. Thinagaran, 31, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada siling selnya menggunakan sehelai seluar yang dibekalkan kepadanya ketika dalam tahanan.

Hakim Alice Loke Yee Ching membenarkan tuntutan saman keluarga mendiang terhadap tiga pihak berhubung isu kecuaian ketika mangsa berada dalan tahanan agensi itu sewaktu disiasat berkaitan kes pengedaran dadah.

Mahkamah memberikan ganti rugi RM172,800 untuk kehilangan pendapatan; RM6,370 sebagai ganti rugi khas; RM5,000 untuk perbelanjaan pengebumian; dan RM10,000 untuk ganti rugi kesedihan.

Kerajaan juga diperintahkan untuk membayar kos RM30,000 kepada pihak plaintif.

Dalam tuntutan saman itu balunya, R. Tenaswari dan bapanya, K. Madhavan bertindak sebagai pentadbir bersama yang sah bagi harta pusaka mendiang dalam kapasiti sendiri dan pihak-pihak tanggungan si mati, menyaman kerajaan atas alasan kecuaian, pelanggaran kewajipan statutori dan misfeasans dalam jawatan awam.

Mereka menamakan pengarah maritim Selangor, seorang pegawai penyiasat APMM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan tuntutan kecuaian setelah mendapati keterangan tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan-dakwaan lain.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 28 Julai lalu yang diperoleh pihak media hari ini, Hakim Alice menyatakan, defendan-defendan gagal melaksanakan penjagaan yang munasabah bagi mencegah kematian Thinagaran.

“Jelas berlaku pelanggaran kewajipan apabila si mati dibiarkan bersama sehelai seluar tambahan dengan kehadiran gril di dalam lokap, yang mana risiko bunuh diri bukanlah sesuatu yang tidak boleh dijangka dalam kalangan tahanan,” katanya dalam penghakiman bertulis yang diperoleh dari laman web mahkamah.

Menurut Hakim Alice, pemantauan yang mencukupi sekiranya dilaksanakan, boleh mencegah insiden yang meragut nyawa tahanan itu.

“Pihak defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk memastikan si mati tidak mengalami sebarang kemudaratan ketika dalam tahanan,” katanya.

Beliau membuat kesimpulan, kecuaian itu berpunca secara langsung daripada pelanggaran kewajipan defendan, bukan suatu tindakan campur tangan bebas.

Menurut fakta kes, pada 9 Januari 2019, para pegawai APMM yang bertindak atas risikan memintas sebuah kapal yang mencurigakan di perairan Selangor.

Selain Thinagaran, seorang lagi individu, R. Inthiran turut berada di atas kapal tersebut. Pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa bungkusan yang kemudiannya disahkan mengandungi dadah.  Kedua-dua lelaki itu kemudian direman untuk tujuan siasatan dan ditahan di pejabat penguatkuasaan maritim di Klang.

Pada hari yang sama, Thinagaran dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan. Dia didiagnosis menghidap sakit kepala berkaitan tekanan dan telah dipreskripsikan ubat.

Thinagaran ditemukan meninggal dunia empat hari kemudian. Rakaman litar tertutup (CCTV) telah merakam detik-detik penting yang membawa kepada kematiannya. Bedah siasat kemudiannya mengesahkan punca kematiannya adalah akibat tergantung.

Peguam M. Manoharan mewakili pihak plaintif, manakala Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim mewakili pihak kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast