KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warganegara Filipina berusia 21 tahun untuk meninggalkan Sabah dengan menggunakan pasport yang mempunyai endosmen palsu berjaya dihalang oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), semalam.
AKPS berkata, hasil pemeriksaan ke atas pasport lelaki itu menemui endosmen Pas Lawatan Sosial bagi kemasukan bertarikh 28 Julai dan endosmen keluar bertarikh 30 Julai.
Pihak berkuasa percaya kedua-dua endosmen tersebut adalah palsu kerana tidak direkodkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia.
Suspek seterusnya ditahan kerana disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa tentang tempoh sebenar keberadaannya di Malaysia.
Turut ditemui, dua pas masuk penerbangan yang dimiliki oleh suspek iaitu satu untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada 30 Julai, dan satu lagi ke Manila, Filipina pada hari berikutnya.
Menurutnya, tujuan pemilikan dua pas masuk ini sedang disiasat untuk mengenal pasti modus operandi yang digunakan.
Suspek telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki atau menggunakan pas palsu tanpa kuasa yang sah.
“AKPS memandang serius sebarang cubaan pemalsuan dokumen perjalanan dan akan terus memperketatkan kawalan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette















