KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil maklum mengenai hasil Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi terhadap Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara yang berlangsung di New York, baru-baru ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persidangan tersebut menyaksikan sokongan global yang meluas terhadap penyelesaian dua negara serta gesaan supaya bantuan kemanusiaan segera dan berterusan disalur bersama inisiatif lain yang bersifat pragmatik serta berorientasikan tindakan.
Pada masa sama kata beliau, Malaysia menyambut baik perubahan pendirian masyarakat antarabangsa yang semakin lantang mengutuk tindakan Israel dan menyokong usaha ke arah pengiktirafan kenegaraan Palestin.
“Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian bahawa rejim Zionis Israel mesti menghentikan segera pembunuhan kejam, menghentikan semua cubaan pengusiran paksa rakyat Palestin serta menamatkan sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan dan memastikan bantuan disalurkan tanpa halangan.
“Sebarang kegagalan oleh Israel adalah satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad menegaskan, Malaysia kekal teguh dalam solidariti tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta hak mereka untuk menentukan nasib sendiri.
Ujarnya, Malaysia terus menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Terdahulu, dalam kenyataan sama Mohamad menyatakan bahawa Malaysia terus menyuarakan kebimbangan terhadap isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza susulan tindakan genosid dan pembersihan etnik secara berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Sejak Oktober 2023, lebih 60,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala hampir 150,000 lagi cedera akibat serangan tanpa henti rejim Zionis.
Dalam tempoh yang sama, seramai 1.9 juta penduduk Palestin telah dipaksa keluar dari kediaman mereka, menjadikan situasi di Gaza semakin tenat dan tidak berperikemanusiaan.
Katanya, Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan yang semakin parah dan telah disaksikan dunia secara diam selama 22 bulan tanpa sebarang penyelesaian tuntas.
“Sekatan berterusan oleh rejim Zionis telah menyekat penyaluran bantuan kemanusiaan, menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, bekalan perubatan dan bahan api yang kritikal.
“Situasi ini mencetuskan kebimbangan serius terhadap kebuluran yang semakin hampir dengan ribuan orang awam termasuk kanak-kanak kini mengalami kelaparan dan kekurangan zat makanan,” jelasnya.
Lebih membimbangkan, sejak akhir Mei 2025, lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh hanya kerana beratur untuk menerima bantuan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF), satu tindakan tidak berperikemanusiaan yang perlu disiasat dan pelakunya dibawa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette
















