KUALA LUMPUR – Pemansuhan cukai barangan bernilai tinggi atau High Value Goods Tax (HVGT) boleh memberi isyarat negatif terhadap komitmen kerajaan dalam mencapai keadilan fiskal.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, ia mungkin dilihat sebagai tindakan yang menguntungkan golongan kaya berbanding rakyat biasa.
Menurutnya, keputusan itu juga boleh mencetuskan rasa tidak puas hati awam dan menjejaskan persepsi terhadap dasar kerajaan.
Dari sudut ekonomi pula, ujar beliau, ia juga berisiko mengurangkan peluang untuk mempromosikan kelestarian dan pengawalan terhadap penggunaan barangan mewah yang berlebihan.
“Di samping itu, ia menjejaskan potensi Malaysia untuk menyelaraskan sistem cukainya dengan amalan antarabangsa yang cenderung mengenakan cukai terhadap barangan mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan HVGT, memandangkan prinsip cukai itu telah diterapkan dalam semakan semula struktur cukai jualan, dengan barang mewah dan bersifat pilihan dikenakan cukai pada kadar lima atau 10 peratus.
Pada masa sama, kata Anwar, kerajaan mengambil beberapa langkah melalui pelaksanaan cukai langsung dan tidak langsung bagi mengukuhkan kutipan hasil negara.
Sementara itu, Shahir berkata, tanpa cukai HVGT, kerajaan mungkin kehilangan sumber pendapatan yang boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan atau inisiatif kebajikan.
Selain itu, ujarnya, pemansuhan HVGT juga boleh mencetuskan ketidakseimbangan dalam struktur percukaian negara, sekali gus menambah tekanan kepada sumber hasil lain seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau cukai individu. – MalaysiaGazette
















