KUALA LUMPUR – Cubaan meragut rantai leher milik seorang lelaki membawa padah apabila mangsa bertindak melawan sehingga suspek terjatuh dari motosikal yang ditungangnya di Jalan Setia Prima, Setia Alam pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 30 tahun yang cuba melarikan diri berjaya ditahan orang awam di lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku sekitar jam 7.07 malam, suspek yang dipercayai menunggang motosikal Yamaha 135LC dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu cuba meragut mangsa berusia 37 tahun ketika lelaki itu sedang berjalan ke keretanya.
“Namun suspek gagal kerana mangsa bertindak melawan sehingga menyebabkan suspek terjatuh dari motosikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, sebuha motosikal, anak kunci dan pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian telah dirampas bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati, suspek mengaku terlibat dalam dua kes ragut lain yang disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
“Suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan terbuka atau berjalan kaki di tepi jalan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” jelasnya. – MalaysiaGazette















