KEPALA BATAS – Seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di sebuah flat di Taman Bukit Jambul dekat sini, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas ditahan polis, pada Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihak polis menerima aduan orang awam jam 6.20 petang yang memaklumkan suspek mengamuk sambil memegang sebatang besi di Blok D, tingkat 13 kawasan perumahan itu.
Jelasnya, dua laporan polis turut diterima berkaitan insiden itu, antaranya melibatkan tindakan suspek memecahkan cermin kereta dan menceroboh masuk ke rumah penduduk di flat berkenaan.

“Semasa cuba ditahan, suspek bertindak ganas dengan menumbuk anggota polis beberapa kali di muka dan belakang kepala serta cuba merampas senjata api.
“Orang awam yang berada berhampiran turut membantu polis menahan lelaki terbabit sebelum dia dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong.
“Bagaimanapun, suspek dilaporkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah bagi Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Alwi, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas lelaki itu semalam mengesahkan punca kematian disebabkan akibat serangan jantung,
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette















