BUKIT MERTAJAM – Bekerja sebagai pembantu rumah pada siang hari, namun berubah watak menjadi pelayan pelanggan pusat hiburan pada waktu malam.
Itu antara taktik licik yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sebelum serbuan dilakukan dengan mengepung bilik-bilik yang dijadikan tempat aktiviti hiburan.
Jelas beliau, operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu, membawa kepada tangkapan seramai 12 wanita warga asing berusia 30-an.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Thailand, Indonesia (3) dan Vietnam (2).

“Seorang daripada tangkapan didapati mempunyai pas sebagai pembantu rumah selain antara mereka merupakan pekerja kilang,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Tambah beliau, ketika serbuan dijalankan, kesemua wanita warga asing itu sedang leka melayan pelanggan masing-masing.
“Siasatan awal mendapati mereka telah bekerja di premis itu antara lima ke enam bulan dengan caj perkhidmatan kepada pelanggan antara RM150 hingga RM250 sejam.
“Mereka disyaki melanggar syarat pas lawatan kerja serta tinggal lebih masa tanpa dokumen sah dan akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Jawi. – MalaysiaGazette
















