KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini menetapkan Jumaat ini bagi menentukan sama ada bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abdul Hadi, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan penganjuran perhimpunan aman.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menetapkan tarikh itu bagi membolehkan beliau meneliti penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad dan peguam Rajsurian Pillai yang mewakilinya.
Prosiding hari ini sepatutnya untuk sebutan kes terhadap Amir Hariri berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bulan lalu yang mengisytiharkan pertuduhan yang dihadapinya, adalah tidak berperlembagaan.
Ia berkaitan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menghendaki penganjur memberikan notis lima hari untuk mengadakan perhimpunan aman.
Dalam kes berkenaan, Pengarah Eksekutif Mandiri itu selaku penganjur, didakwa gagal memaklumkan kepada pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini pada pukul 2 petang, 14 Ogos 2022.

Terdahulu, Anis Wahidah memohon Amir Hariri dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan itu berdasarkan Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Bagaimanapun, Rajsurian memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA) kerana Seksyen 9(5) yang menjadi asas kepada pertuduhan, telah diisytiharkan tidak berperlembagaan dan tidak boleh diguna pakai untuk membuat pertuduhan pada masa hadapan.
Ujar beliau, oleh kerana pihak pendakwaan sudah membuat keputusan untuk tidak mahu meneruskan pendakwaan terhadap Amir Hariri, maka tertuduh wajar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Rajsurian selanjutnya menghujahkan, anak guamnya ketika kejadian merupakan individu yang aktif berpolitik serta memegang jawatan Setiausaha Agung MUDA dan kini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Jika perintah DNAA diberikan, ini bermakna kes masih tergantung dan jika pada masa hadapan, tertuduh mengkritik kerajaan, tuduhan boleh dikemukakan semula terhadapnya,” ujar beliau.
Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Dia kemudian mengemukakan permohonan untuk mencabar kesahihan peruntukan yang dipertuduhkan terhadapnya di Mahkamah Persekutuan.
Pada 1 Julai lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengisytiharkan Seksyen 9(5) akta berkenaan sebagai tidak sah kerana melanggar kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) dan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















