KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan penyanyi rap Caprice, segera mengeluarkan semua catatan didakwa berunsur fitnah mengenai seorang ahli perniagaan daripada akaun Instagramnya, yang dimuat naik bulan lalu.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membenarkan injunksi ad-interim yang dipohon Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, 50, terhadap Caprice, yang nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, sebagai defendan.
Mahkamah juga menghalang Caprice daripada membuat kenyataan fitnah lanjut mengenai plaintif sementara menunggu perbicaraan injunksi inter parte.
Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkapalan, memfailkan saman terhadap Caprice (defendan) pada 21 Julai lalu berhubung hantaran dalam Instagram (IG) pada 10 Julai lalu.
Beliau mendakwa defendan memuat naik beberapa gambar dan videonya yang didakwa mengaitkannya dengan aktiviti jenayah, gengsterisme dan ancaman bersenjata tanpa sebarang bukti.
Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif menegaskan siaran fitnah itu bertujuan untuk menimbulkan syak wasangka, kebencian orang ramai dan tekanan sosial terhadapnya.
Menurut ahli perniagaan itu, Caprice tidak pernah menghubunginya atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menyiarkan dakwaan serius tersebut.
Beliau berhujah, tindakan defendan jelas tidak menunjukkan niat untuk memberikan maklumat yang adil dan tepat, sebaliknya untuk mencemarkan nama dan reputasinya, sambil menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Hasil daripada penerbitan itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim global telah rosak.
Beliau turut mendakwa mengalami ganti rugi khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak ucaptama di Dubai, Turki dan India, yang ditawarkan oleh syarikat yang berpangkalan di Dubai.
Pada 15 Julai, peguamnya mengeluarkan surat tuntutan kepada defendan menggariskan beberapa tuntutan, yang kemudiannya ditolak oleh defendan melalui firma guaman yang mewakilinya.
Plaintif menuntut ganti rugi RM3 juta untuk kemudaratan reputasi, ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teladan bersama kos dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dia juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada membuat kenyataan fitnah selanjutnya, untuk memaksa semua kandungan berunsur fitnah dikeluarkan, dan untuk meminta permohonan maaf secara terbuka merentas semua akaun media sosial yang dimiliki atau dikawal oleh defendan.
Jeyenderan diwakili peguam-peguam Muniandy Vestanathan, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa serta peguam Caprice Megat Syazlee Mokhtarom. – MalaysiaGazette
















