Tangkap layar video tular yang memaparkan pejalan kaki maut dilanggar di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru, hari ini .

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki melintas jalan dengan tidak menggunakan jejantas membawa padah apabila dilanggar sebuah kereta di Kilometer 12 Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4 pagi melibatkan kereta Toyota Vios 1.5S (AT).

“Hasil siasatan mendapati kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun datang dari arah Taman Ungku Tin Aminah, Skudai menuju ke Iskandar Puteri.

“Kemudian seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun melintas tanpa menggunakan jejantas untuk ke perhentian bas,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu tidak mengalami kecederaan.

Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Kanun Keseksaan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ong Jin Siong 011-16490168.

Terdahulu kejadian seorang pejalan kaki maut dilanggar tular dalam media sosial yang memaparkan satu mayat ditutup di tepi jalan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast