Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggariskan beberapa pembaharuan bagi memperbaiki penyampaian sistem keadilan supaya lebih berkesan dan pantas.

Beliau berkata, langkah itu termasuk menambah baik bilangan kamar bicara mahkamah dan melantik pesuruhjaya kehakiman baharu bagi menyelesaikan kes tertunggak di seluruh negara.

Beliau menyedari kes tertunggak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan litigan.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

“Saya dengar anda semua (perasaan tidak puas hati) dan berjanji para hakim akan menyelesaikannya, kamar bicara dan bilangan pesuruhjaya kehakiman akan ditambah.

“Saya tidak menjanjikan keajaiban. Namun semua pembaharuan ini akan dilaksanakan bagi memperbaiki sistem penyampaian keadilan,” ujar beliau ketika berucap pada majlis meraikan pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada usia 66 tahun awal bulan lalu.

Dalam ucapan sulungnya, Wan Ahmad Farid berkata, pada 2011, Bank Dunia mengesyorkan negara-negara yang mempunyai tunggakan kes agar mengkaji pembaharuan yang dilakukan oleh negara ini.

“Pendek kata, Malaysia menjadi pencetus dan contoh kepada dunia untuk menyelesaikan kes tertunggak,” ujar beliau.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh beramah mesra bersama barisan hakim yang hadir pada Majlis Menghormati Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2025

Wan Ahmad Farid selanjutnya menjelaskan, badan kehakiman akan menempatkan hakim atau pesuruhjaya kehakiman di mahkamah tertentu untuk mendengar kes-kes lama dan melupuskannya dalam tempoh tertentu.

Ujar beliau, langkah itu dapat meringankan beban hakim sedia ada di mahkamah berkenaan agar mereka dapat memberi tumpuan kepada kes masing-masing.

Kata Ketua Hakim Negara, untuk meluaskan lagi akses awam kepada keadilan, badan itu turut memperkenalkan mahkamah mudah alih, membawa perkhidmatan undang-undang terus ke tempat terpencil khususnya di Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, unit mudah alih itu dilengkapi bilik mahkamah bersama dengan pasukan yang diketuai oleh majistret bagi mengendalikan perkara seperti pendaftaran kelahiran, kesalahan kecil dan undang-undang dokumentasi di lapangan.

“Kami akan memperkenalkan perkhidmatan yang sama ke Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Selanjutnya, beliau berkata, terdapat keperluan untuk membentuk pembahagian yang lebih khusus di Mahkamah Tinggi terutamanya di Kuala Lumpur yang lebih kompleks.

Ujar beliau, para hakim akan didedahkan dengan lebih banyak undang-undang yang kompleks dan meningkatkan kepakaran mereka dalam lapangan tertentu termasuk bahagian komersial untuk mengekalkan keyakinan pelabur.

Pada akhir ucapannya, Wan Ahmad Farid turut berkata, penggunaan teknologi di mahkamah akan diperluaskan bagi meningkatkan kecekapan sistem mahkamah dan membolehkan akses yang lebih baik kepada keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast