RAUB – Lebih 3,000 pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Benum di sini ditebang dalam tempoh 18 hari Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Tanaman Durian yang dilaksanakan pada 21 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu kali ini membabitkan kawasan Hutan Simpan Gunung Benum seluas 250 hektar yang mengambil masa secara berterusan selama dua bulan.
Tindakan memusnahkan tanaman durian berusia antara tiga hingga 40 tahun itu dilakukan selepas titah Sultan Pahang yang ingin melihat kegiatan menceroboh tanah secara haram di negeri itu segera disekat.
Selain memusnahkan tanaman durian pelbagai jenis seperti Musang King, D24, IOI dan durian kampung turut ditebang pokok petai, rambutan, manggis serta beberapa pokok buah-buahan lain yang berada dalam hutan simpan berkenaan.
“Sejak operasi penguatkuasaan dilakukan kita tidak mendapat bantahan dan ancaman daripada pekebun, mereka seolah akur dengan tindakan jabatan yang bertindak tegas memusnahkan tanaman mereka yang terletak dalam kawasan hutan simpan.
“Kita telah mengedarkan notis pengosongan tanah penerokaan Hutan Simpan Gunung Benum tanpa kebenaran pada 18 Julai lalu,” kata Zainuddin menerusi kenyataan hari ini.
Tegasnya pihak yang bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 32, Akta Perhutanan Negara 1984 sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, operasi kali ini mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA) serta RELA dengan melaksanakan aktiviti rondaan mengesan pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan berkenaan selama 24 jam.
Tambahnya, sejak operasi penguatkuasaan bersepadu tanaman durian dilakukan bulan lalu pelbagai tanaman buah-buahan seluas 50 hektar dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Benum telah dimusnahkan dengan cara menebang.
Zainuddin berkata, cabaran operasi kali ini apabila berhadapan masalah untuk memasukan kawasan yang diceroboh kerana terpaksa melalui kawasan tanah milik yang berpagar dan berkunci.
”Mereka tidak memberi kerjasama hingga tindakan memotong kunci pagar terpaksa dilakukan pihak berkuasa. Kebanyakan kawasan ceroboh Hutan Simpan Gunung Benum terletak di belakang kawasan tanah milik berbeza dengan kawasan ceroboh hutan simpan dan tanah kerajaan yang lain daerah ini,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, pekebun tanah milik menggunakan rakaman kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pasukan operasi, sebahagian mereka tidak memberi kerjasama untuk melalui kawasan kebun mereka dengan pelbagai alasan.
Kebanyakan individu yang menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum yang dijadikan kebun durian dan buah-buahan merupakan masyarakat setempat di mana mereka membuka kawasan berkenaan tanpa rasa bersalah dan bimbang dengan tindakan undang-undang, katanya.
Susulan itu, pihaknya bertindak tegas dengan memusnahkan tanaman serta bangunan yang terdapat dalam hutan simpan di negeri ini.
”Kita tidak boleh tunduk dengan pihak yang mengambil kesempatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















