KUALA LUMPUR – Seramai 4,352 orang Pegawai Perubatan Gred UD10 bagi 2025 mula menerima surat tawaran lantikan tetap daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sehingga selewat-lewatnya 18 Ogos ini.
Menurut Kementerian Kesihatan, pegawai-pegawai berkenaan akan melapor diri ke fasiliti kesihatan KKM seluruh negara seawal 2 Oktober depan.
Katanya, KKM berusaha sebaik mungkin untuk menyegerakan usaha bagi pelantikan tersebut dengan mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, SPA dan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memastikan 4,352 Pegawai Perubatan Gred UD10 dapat dilantik secara berfasa, sebaik sahaja pengumuman dibuat Perdana Menteri dua minggu lalu.
“Pelantikan tetap ini perlu dilaksanakan secara berfasa kerana ia melibatkan pegawai perubatan daripada beberapa kohort lantikan kontrak di samping menjaga kebajikan pegawai dari aspek susunan kekananan.
“Susulan daripada sesi libat urus tersebut, KKM juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada JPA, SPA serta Kementerian Kewangan atas kerjasama erat bagi memastikan proses pelantikan tetap Pegawai Perubatan UD10 dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” jelas KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, KKM kekal komited untuk memastikan keseluruhan proses pelantikan ini berjalan lancar.
Ini selaras dengan langkah strategik KKM dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara dengan memastikan pengisian jawatan kritikal dilaksanakan secara terancang, seimbang dan berteraskan keperluan perkhidmatan semasa.
Pada 23 Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan, termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini.
Dalam pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen itu Perdana Menteri menekankan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan. -MalaysiaGazette
















