Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Turut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua kiri) Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (dua kanan) serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah pembinaan Olympic House ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi perhatian daripada segi keperluan kemudahan kepada sekolah sukan di negara agar mutu kecemerlangan bakal atlet dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan telah diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disegerakan.

“Tadi saya telah berbincang dengan Menteri Hannah Yeoh untuk melihat sekali lagi tentang sekolah sukan.

“Apa sahaja yang perlu kita bantu, pastikan keperluan ditingkatkan, kemudahan diberikan. Dan di samping itu kepada institut, kepada apa sahaja yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Rumah Olimpik iaitu ibu pejabat baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diberi penerangan bersama Bekas pelari pecut negara, Tan Sri Dr M. jegathesan pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Majlis Olimpik Malaysia di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OGOS 2025

Turut hadir, Hannah, Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Hadir sama, wakil rasmi Majlis Olimpik Antarabangsa, Khunying Patama Leeswadtrakul; wakil rasmi OCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang OCA, Abraham ‘Bambol’ Tolentino dan Presiden NOC Laos, Prof Madya Dr Phout Simmalavong.

Sementara itu, reka bentuk Rumah Olimpik akan dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sebagai pemaju induk Kompleks Sukan Kuala Lumpur.

Bangunan itu bakal dibina di atas tanah seluas 5.38 ekar dengan keluasan lantai kasar berjumlah 140,973 kaki persegi.

Terletak di tengah-tengah ekosistem sukan negara, ibu pejabat baharu ini akan menghimpunkan 58 persatuan sukan kebangsaan di bawah satu bumbung bagi memperkukuh kerjasama dan meningkatkan tadbir urus dalam pengurusan sukan.

Kemudahan yang dibina khusus ini akan menampilkan pelbagai kemudahan moden termasuk auditorium, pusat sumber, gimnasium, muzium, galeri, kafe, surau, dan banyak lagi.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Rumah Olimpik itu dijadual siap menjelang penghujung 2028 dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM96 hingga RM97 juta. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama Presiden Persatuan Badminton Thailand (BAT) Khunying Patama Leeswadtrakul pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Majlis Olimpik Malaysia di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 OGOS 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast