KUANTAN – Sebanyak 551 operasi dilakukan di bagi menguatkuasakan Akta 852 antara 1 Oktober 2024 hingga 31 Julai lepas untuk mengawal semua produk merokok dan kawalan individu bawah umur daripada menggunakan produk merokok di Pahang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, sebanyak 10,161 premis telah diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
Menurutnya Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) sentiasa komited dalam menguatkuasakan Akta 852 ini sejak ia mula berkuatkuasa pada Oktober tahun lalu.
“Hasilnya sebanyak 7,390 notis kesalahan telah dikeluarkan terutamanya berkaitan amalan merokok dan 35 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan pengiklanan, penjualan dalam talian, penjualan vape berbentuk mainan dan penjualan produk merokok di bawah harga minimum.
“Daripada kes yang telah dibuka kertas siasatan, sebanyak satu satu kes pendakwaan telah dijatuhi hukuman terhadap kesalahan mengiklankan produk merokok dengan nilai denda sebanyak RM 5,000,” katanya.
Razali berkata demikian ketika ditemui media selepaas Majlis Peluncuran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) di JKNP Pahang, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak lima lima sitaan telah dibuat melibatkan 417 produk merokok bernilai RM10,942.50.
Bagi penguatkuasaan secara berfasa seperti larangan pameran produk merokok, katanya, sebanyak 712 notis peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik kedai-kedai khas dan kedai-kedai serbaneka.
Razali berkata, penguatkuasaan bagi kesalahan ini akan berkuatkuasa secara penuh bermula bermula 1 Oktober 2025 dan tiada lagi kedai-kedai yang akan mempamerkan produk merokok secara terbuka.
Sementara itu katanya Ops Selamat PaPa di Pahang yang bermula hari ini menandakan bermulanya penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran dan lebih menyeluruh melibatkan seramai 418 penguatkuasa dari JKNP dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa di seluruh negeri. – MalaysiaGazette
















