JIM kesan GRO bersembunyi di dalam bilik rahsia disebalik belakang sofa, speaker dan tandas semasa menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Bagan Luar, Butterworth awal pagi tadi.

BUTTERWORTH – Pilih gadis pelayan pelanggan (GRO) ikut nombor badan, bayaran cecah RM300 sejam.

Itu ‘pakej eksklusif’ ditawarkan sebuah pusat hiburan di Jalan Bagan Luar di sini sebelum kegiatan mereka dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan awal pagi tadi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, serbuan pukul 1 pagi itu berdepan kesukaran apabila pengurusan premis telah menghidu kehadiran pasukan operasi dan menutup semua laluan masuk termasuk lif dan pintu tangga.

Basri menunjukkan sebahagian wang yang dirampas pihaknya dalam sampul mengikut nombor badan GRO terbabit.

“Premis ini terletak di tingkat tujuh dan kita terpaksa memecahkan beberapa pintu besi untuk memasuki premis tersebut.

“Susulan itu, kita melakukan pemeriksaan terhadap 110 individu sebelum menahan 37 warga asing berusia 23 hingga 45 tahun termasuk 35 daripada yang dipercayai bekerja sebagai GRO,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 wanita Vietnam, Thailand (14) dua lelaki China, dan masing-masing seorang wanita China dan Laos.

Menurut Basri, semasa pemeriksaan dilakukan di bilik karaoke, terdapat beberapa wanita bersembunyi di dalam bilik rahsia disebalik belakang sofa, speaker serta dalam tandas.

“Semakan kita mendapati kesemua tangkapan wanita ini mempunyai nombor badan dan dipercayai pelanggan akan memilih mereka berdasarkan nombor tersebut.

Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut.

“Mereka juga dibayar antara RM250 hingga RM300 sejam dan wang itu dimasukkan dalam sampul surat bertanda nombor sama dipercayai sebagai bayaran gaji perkhidmatan mereka.

“Pusat hiburan ini dipercayai beroperasi sejak setahun lalu dan ia popular dalam kalangan pelanggan tempatan dan luar negara,” katanya.

Tambah Basri, kebanyakan mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain beberapa individu yang dikesan tinggal lebih masa.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast