PKR Flag Anwar Ibrahim Prime Minister
Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membantah keras keputusan Malayan Banking Bhd (Maybank) menjalin kerjasama digital strategik dengan Microsoft, sebuah syarikat yang terpalit dengan dakwaan menyokong tindakan genosid Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Biro itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Microsoft juga telah dikenal pasti membekalkan teknologi kepada regim Israel termasuk sistem kecerdasan buatan (AI) yang digunakan dalam operasi ketenteraan, pengawasan dan penindasan ke atas rakyat Palestin.

Ujarnya, ia menjadikan kerjasama itu bukan sahaja tidak beretika, malah mencemarkan nama baik Maybank sebagai institusi kewangan milik rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, biro berkenaan menuntut Maybank menilai semula dan menggantung kerjasama tersebut serta-merta dan memberikan penjelasan awam berkenaan penilaian risiko Hak Asasi Manusia yang dibuat sebelum keputusan kerjasama terbabit.

Dalam masa sama, biro itu turut menuntut komitmen Maybank terhadap nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti sejagat khususnya dalam isu Palestin.

“Sebagai institusi nasional, Maybank wajar mendahulukan prinsip etika dan kemanusiaan dalam semua urusan perniagaan, sejajar dengan sentimen majoriti rakyat Malaysia yang menolak sebarang bentuk sokongan terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Maybank memeterai kerjasama untuk tempoh lima tahun bernilai RM1 bilion dengan Microsoft bagi memacu transformasi digitalnya.

Bank itu dalam kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan menyaksikan Maybank memanfaatkan keupayaan rangkaian kerjasama, teknologi awan dan AI Microsoft untuk meningkatkan keutamaan pelanggan, mempertingkat operasi dan menggalakkan budaya inovasi yang berterusan.

Ia termasuk menaik taraf keupayaan sedia ada kepada Microsoft 365. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast