Tangkap layar daripada video tular kejadian di kilometer 10.3 jalan turun Genting Highlands

BENTONG – Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki kerana memandu kereta secara berbahaya dan menyerang seorang individu lain dalam kejadian di kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands, di sini.

Ia susulan klip video papan pemuka kenderaan (dashcam) berdurasi satu minit 23 saat berhubung kejadian itu tular di beberapa platform media sosial sejak kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi pada Ahad lalu ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke rumahnya di Subang Jaya, Selangor.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek memandu keretanya secara berbahaya serta brek secara mengejut dan menghalang laluan mangsa.

“Setelah mangsa berjaya memintas kereta yang dipandu suspek, lelaki berkenaan bertindak mengejar dan melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Zaiham, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun dan suspek berusia 24 tahun itu kemudian telah memberhentikan kereta di bahu jalan dan turun daripada kenderaan masing-masing.

Namun, beliau berkata, suspek tiba-tiba menyerang mangsa dengan menumbuk di bahagian muka serta mencederakan lehernya.

Dua rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian kemudian bertindak meleraikan pergaduhan itu.

“Berikutan insiden itu, polis menahan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.

Zaiham memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes masih dalam siasatan pihaknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast