PEKAN – Insiden membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Papar, Sabah baru-baru ini wajar dijadikan iktibar dan pedoman kepada semua pihak terutama kepada pengusaha sekolah agama dan maahad tahfiz di Pahang.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Zaki Md Zain berkata, pihaknya berharap insiden berkenaan tidak berulang lagi jika keprihatinan dan kebajikan pelajar dijadikan fokus utama pendidikan dalam setiap institusi agama.
Walaupun kejadian tersebut berlaku jauh di Sabah namun Pahang mengambil tindakan segera dan berterusan dengan mewujudkan suasana pembelajaran selamat dan kondusif terutamanya bagi anak-anak yang berada di asrama.
“Institusi agama perlu sentiasa prihatin kepada kebajikan anak-anak yang berada di sekolah agama dan madrasah. Kita mungkin tidak dapat menghapuskan sepenuhnya isu atau gejala-gejala seperti itu tapi kita akan terus berusaha untuk mengurangkannya seminimum mungkin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Surat Pendaftaran Maahad dan Sekolah Agama Swasta di Dewan Syarahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Pekan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Zaki turut memaklumkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan agar solat hajat diadakan di seluruh masjid di negeri itu.
Pelaksanaan solat hajiat itu sebagai tanda penghormatan dan memohon kemudahan segala urusan bagi arwah Zara Qairina.
Untuk rekod sehingga kini sebanyak 139 institusi pendidikan agama berdaftar di seluruh Pahang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Kes Zara: Sultan Pahang titah semua masjid, surau buat solat hajat
















