Peguam Kanan, Muhammad Hasif Hasan.

KUALA LUMPUR – Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan berpandangan kes melibatkan Zara Qairina Mahathir tidak rumit untuk diselesaikan.

Apa yang mustahak, katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada pegawai penyiasat melakukan siasatan secara menyeluruh dan pakar perubatan forensik menentukan punca kematian Zara Qairina.

Menurutnya, dengan segala bukti yang sudah dikumpulkan, beliau melahirkan keyakinan pelaku dalam kes itu dapat dibawa ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, beliau beranggapan penglibatan pihak ketiga termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kes Zara Qairina pada tahap kini mungkin sudah tidak diperlukan lagi.

“Spekulasi oleh orang awam lagi mengeruhkan kes ini kerana kita semua tidak mempunyai pengetahuan sebenar mengenai kes ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.

Menurut Muhammad Hasif, semua pihak perlu bertenang dan memberi peluang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan baik.

Menurutnya, penglibatan banyak pihak khususnya yang tidak ada kaitan secara langsung dalam siasatan kes Zara Qairina hanya akan menyebabkan kes tersebut semakin bercelaru.

“Semakin banyak penglibatan pihak ketiga semakin bercelaru kes ini.

“Tidak dapat dinafikan akan ada pihak akan mengambil kesempatan membuat perlbagai cerita sensasi, mangsa telah ‘diitu dan diini’ yang tidak tahu kebenaran dan hujung pangkalnya dan menggangu kerja pegawai penyiasat.

“Maklumat yang tidak sahih berkaitan kes kematian arwah boleh mengguris perasaan ahli keluarga dan berpotensi melanggar undang undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, keluarga Zara Qairina juga telah melantik peguam bagi menguruskan kes mereka.

Sehubungan itu, tambahnya, kepentingan keluarga mangsa sudah terjaga kerana peguam dilantik sangat berpengalaman dan dapat berurusan dengan pihak polis, hospital dan pendakwa raya, sekali gus tidak memerlukan penglibatan pihak luar.

Sementelah, ujar beliau, maklumat yang tidak sahih berkaitan kes kematian Allahyarham juga boleh mengguris perasaan ahli keluarga dan berpotensi melanggar undang undang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast