KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegaskan bandar-bandar di ASEAN berada di barisan hadapan berdepan kesan ekstrem perubahan iklim selain berperanan memimpin usaha ke arah model pembangunan mampan baharu yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Beliau berkata, usaha menangani cabaran iklim tidak boleh menjadi agenda kerajaan Pusat semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan tempatan, sektor swasta, komuniti, para akademik dan pertubuhan masyarakat sivil.
Beliau berkata demikian pada ucapan ‘Kuala Lumpur COP Town Hall’ sempena ASEAN Sustainable Urbanisation Forum 2025, ASEAN Governors and Mayors Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) di di sini hari ini.
Acara julung kali diadakan di Malaysia ini menghimpunkan pemimpin tempatan, datuk bandar, gabenor, pakar perancangan bandar dan tokoh antarabangsa yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur merangkap Penasihat Urbanisasi Mampan Kerajaan Malaysia, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Presiden Perhimpunan Agung UN-Habitat mengulangi komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Protokol Kyoto, dan Perjanjian Paris.
Beliau menegaskan, Malaysia kekal dengan matlamat untuk mencapai pelepasan bersih sifar gas rumah hijau menjelang 2050, selain mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Katanya, dasar-dasar ini dipandu oleh Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 serta Garis Panduan Bandar Rendah Karbon dan Tahan Iklim yang membantu pihak berkuasa tempatan mengintegrasikan tindakan iklim dalam perancangan bandar mereka.
Beliau turut menyentuh tentang pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan KPKT bagi memacu transformasi hijau di peringkat bandar.
Antaranya ialah Blueprint Ekonomi Kitaran untuk Sisa Pepejal Malaysia 2025–2035 yang bertujuan mengubah pendekatan pengurusan sisa daripada model linear ‘ambil-guna-buang’ kepada model ekonomi kitaran, dengan sasaran kadar kitar semula nasional 40 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata, kementeriannya juga sedang membangunkan 18 loji sisa kepada tenaga (waste-to-energy) di seluruh Semenanjung Malaysia yang mampu menjana sehingga 600 megawatt tenaga bersih, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada tapak pelupusan.
Selain itu, tapak pelupusan lama yang ditutup akan ditukar menjadi taman rekreasi awam, mengubah tanah tercemar kepada kawasan hijau selamat untuk komuniti setempat.
Kor Ming turut menekankan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) sedang diperluas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi mengurangkan sisa pembinaan, pencemaran bunyi dan meningkatkan kualiti binaan serta keselamatan tapak projek.
Jelasnya, semua langkah ini bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar, malah meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar.
“Kita hanya akan capai matlamat iklim jika wujud kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan komuniti seperti yang digariskan dalam prinsip 4P – Public-Private-People Partnership.
“Kuala Lumpur telah menunjukkan contoh dengan memasukkan sasaran iklim dalam pelan pembangunan tempatan, penyelenggaraan bangunan dan aktiviti harian. Semua kerajaan tempatan perlu mencontohi pendekatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming turut mengingatkan dengan dua pertiga penduduk dunia dijangka tinggal di bandar menjelang 2050, penyelesaian terhadap cabaran iklim mesti berpaksikan perancangan bandar, perumahan, mobiliti dan infrastruktur mampan.
Menurutnya, keadilan iklim perlu menjadi asas kepada daya tahan bandar kerana komuniti rentan sering menjadi pihak paling terkesan.
“Tindakan iklim mesti melindungi planet dan pada masa yang sama mengangkat martabat manusia,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















