KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen akan disambung reman esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuatnaik video tanpa kebenaran dan hantaran berunsur jahat di laman Facebook .
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan bagi kes kes itu masih berjalan dan suspek akan disambung reman selepas tempoh remannya selama empat hari tamat hari ini.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, polis menahan bekas pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuatnaik video tanpa kebenaran dan hantaran berunsur jahat di Facebook pada Jumaat lalu.
Mohd Azam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu iaitu Ahli Parlimen yang melihat hantaran sebuah akaun Facebook memuatnaik video milik pengadu tanpa kebenaran dan pengetahuannya pada pukul 12.30 tengahari pada 30 Julai lalu.
Menurutnya, suspek secara terangan menyebut nama pengadu di hantaran berkenaan yang berunsur jahat dan mendedahkan pengadu kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.
“Kesan hantaran itu menyebabkan komen kecaman dibuat oleh pengguna FB yang lain dan komen negatif sehingga beri tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:-
















