Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan bekas pembantu seorang Ahli Parlimen selepas disyaki memuat naik video tanpa kebenaran di media sosial yang mengandungi unsur ancaman terhadap bekas majikannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penahanan itu dilakukan susulan aduan daripada seorang ahli Parlimen.

Aduan tersebut dibuat selepas beliau melihat satu hantaran video dimuat naik melalui akaun Facebook ‘Mohd Syahrizal’ pada 30 Julai lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari di Ampang.

Menurutnya, pengadu memaklumkan video berkenaan dimuat naik oleh suspek tanpa kebenaran malah secara terang-terangan menyebut namanya dengan niat jahat sehingga mendedahkannya kepada kemudaratan atau ancaman terbuka.

“Kesan daripada hantaran itu, komen kecaman dan reaksi negatif mula diterima daripada pengguna Facebook lain, sekali gus memberi tekanan serta memudaratkan minda, reputasi dan psikologi pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, pengadu turut berasa terancam dan bimbang sekiranya perkara buruk menimpanya akibat tindakan suspek.

Suspek berusia 43 tahun itu pernah menjadi pembantu peribadi pengadu sebelum ini.

“Suspek ditahan pukul 11.30 pagi, Rabu lalu di Pasir Mas, Kelantan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. Dua telefon bimbit turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencingnya negatif,” jelasnya.

Suspek direman empat hari bermula kelmarin hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast