KUALA LUMPUR – DAP akan menaja bendera Jalur Gemilang gergasi yang akan dipasang di sebuah premis di Pulau Pinang petang ini supaya orang ramai boleh melihat dengan jelas bendera telah dipasang dengan betul di kedai tersebut.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menggangu ketenteraman di kawasan premis itu, ahli-ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena 31 Ogos.
Terdahulu, menurut beliau, DAP mengutuk keras tindakan pihak tertentu yang cuba memberi tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai di Pulau Pinang yang tesilap memasang bendera Jalur Gemilang di depan kedainya.
Tegas beliau, ia merupakan tindakan mencampuri dan cuba mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.
“Pihak Peguam Negara perlu diberi ruang secara bebas untuk membuat sebarang keputusan tanpa apa-apa tekanan poliitik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal mendesak pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang dikaitkan dengan kes Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya memberikan tempoh dua hari bermula hari ini hingga esok untuk pendakwaan dilakukan, selepas polis memaklumkan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya semalam.
Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Sementara itu, Anthony Loke menyifatkan ugutan mengadakan protes di kedai sekiranya tiada pendakwaan terhadap individu berkenaan dalam masa terdekat merupakan tindakan buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali.
Tegasnya, bukan sahaja tindakan buli di sekolah perlu ditentang, tetapi tindakan buli terhadap warga emas juga perlu dibantah sekeras-kerasnya.
“Namun, untuk menangani pihak yang kurang matang seperti ini, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara yang aman dan beradab,” katanya. – MalaysiaGazette
















