KUALA LUMPUR – Semua masjid di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, majlis tersebut akan berlangsung selepas solat Maghrib pada Khamis ini.
Arahan itu katanya, sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan tulus seluruh umat Islam terhadap Allahyarhamah pelajar tingkatan satu itu.
“Arahan ini sebagai tanda solidariti, doa dan ingatan tulus kita sebagai sebuah keluarga besar umat Islam terhadap almarhumah, di samping memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat dan mengampuni segala dosanya, serta menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Na’im turut menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk turut hadir dan menyertai majlis bacaan yasin dan solat hajat di masjid atau surau masing-masing.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara berjemaah ini memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan menjadi bekalan pahala buat almarhumah,” katanya lagi.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas insiden berlaku.
Kes ini mendapat perhatian meluas, terutamanya di media sosial, selepas timbul dakwaan adanya unsur buli di sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette
















