KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional menepis dakwaan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menyatakan bahawa pembayaran elaun antara RM600 hingga RM700 kepada guru Pasti (pra-sekolah) kendalian Pas melanggar undang-undang.
Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Ahli Parlimen Setiawangsa itu cuba memberikan maklumat tidak tepat.
Sebaliknya Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kebanyakan guru Pasti sukarela yang menawarkan diri untuk mengajar walaupun dimaklumkan bahawa bayaran elaun yang diberikan adalah rendah.
“Setiawangsa cuba memberikan maklumat tidak tepat kononnya Pasti yang kami kelolakan seolah-olah berlaku ketidakadilan kepada guru-guru.
“Saya nak tegaskan bahawa tuduhan Setiawangsa ini tidak betul dan jauh menyimpang daripada apa yang sebenarnya berlaku. Saya rasa dia (Nik Nazmi) tidak buat kerja rumah seperti Perdana Menteri, PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang buat kerja rumah dengan baik. Dia (Nik Nazmi) tak buat kerja rumah, sebab itu dia kalah dalam pemilihan.
“Saya nak tegaskan, guru-guru sukarelawan ini bekerja tanpa meminta imbuhan. Sejak mula mereka bertugas di premis Pasti, mereka kata mereka nak berkhidmat dengan ikhlas, walaupun kita beritahu elaun tak boleh bayar mahal sebab yuran kita rendah. Mereka kata tak apa, kami nak sumbang tenaga,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Tambahnya, Nik Nazmi sepatutnya berterima kasih kepada Pas yang membantu melengkapkan pendidikan di peringkat rendah itu.
“Keikhlasan guru-guru inilah yang membantu masyarakat hari ini mengenal ABC, Alif Ba Ta. Sepatutnya Setiawangsa berterima kasih kepada kami kerana membantu melengkapkan institusi pendidikan di peringkat pra-sekolah untuk kerajaan ini,” tambahnya.
Pemuda Pas itu turut menepis tuduhan Nik Nazmi bahawa guru Pasti tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Guru Pasti kita mencarum KWSP i-Saraan dan Perkeso di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS). Guru kita memang ada caruman.
“Saya tawarkan kepada Setiawangsa untuk duduk di Pasti secara percuma kalau dia mahu belajar di situ. Sepatutnya Setiawangsa bercakap tentang elaun guru Kafa, guru takmir, elaun imam yang dilaporkan masih di bawah paras gaji minimum, ini semua tanggungjawab kerajaan,” tambahnya.
Semalam, Nik Nazmi ketika membahaskan RMK-13 berkata, lebih 9,500 guru di pra-sekolah kendalian Pas hanya menerima elaun antara RM600 hingga RM700, jauh di bawah kadar gaji minimum.
Ujarnya, perkara tersebut bercanggah dengan peraturan gaji minimum RM1,700 serta mengelakkan kewajipan seperti caruman KWSP dan PERKESO.
Pasti merupakan pra-sekolah Islam yang ditubuhkan oleh Dewan Pemuda Pas pada akhir 1980-an untuk menyediakan alternatif pendidikan awal kanak-kanak berteraskan agama.-MalaysiaGazette















