Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek

KUALA LUMPUR – Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek sedia berdepan dengan Dr. Muhamad Akmal Saleh sekiranya Ketua Pemuda UMNO berkenaan hadir ke premis perniagaan yang dikaitkan dengan insiden bendera terbalik di Pulau Pinang esok.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian tanggungjawab LFL dalam melindungi orang awam daripada penindasan dan ugutan serta mempertahankan hak asasi mereka.

Jelasnya, beliau perlu mengambil langkah sewajarnya untuk meredakan keadaan dan melindungi pemilik kedai berkenaan daripada perbuatan membuli dan mengugut yang menyalahi undang-undang, sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak.

“Saya akan berada di kedai di Pulau Pinang pada hari Khamis (esok) untuk bertemu dengan Akmal dan mendidiknya bahawa tindakannya adalah salah, serta menasihatinya supaya mematuhi undang-undang negara, termasuk tidak melakukan ugutan atau pencerobohan jenayah.

“Saya akan melakukan semua ini secara aman. Jika perlu, saya akan berdiri seorang diri menentang Akmal dan kumpulannya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dr. Muhamad Akmal mendesak pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang dikaitkan dengan kes Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya memberikan tempoh dua hari bermula hari ini hingga esok untuk pendakwaan dilakukan, selepas polis memaklumkan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya semalam.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Sementara itu, Zaid turut menasihati Dr. Muhamad Akmal supaya tidak meniup api kebencian dalam masyarakat atau mengganggu orang awam melalui ancaman tindakan ala samseng.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia yang waras dan muak dengan gangguan serta pembulian politik untuk bersama-samanya secara aman dan dalam semangat perpaduan.

“Sudah tiba masanya untuk kita menetapkan sempadan terhadap sikap fanatik, prejudis, pembulian dan politik perkauman.

“Marilah kita lakukan apa yang kerajaan enggan lakukan, berdiri teguh menentang pembulian terhadap rakyat biasa oleh ahli politik yang mempunyai keistimewaan dan kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast