KUALA LUMPUR – Seluruh rakyat Malaysia diminta bersabar, bertenang, dan bersikap objektif serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina.
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita yang tidak disahkan atau berunsur fitnah.
Setiausaha Agung Wadah, Azizuddin Ahmad menambah, kesedihan keluarga mangsa tidak wajar dijadikan bahan sensasi atau modal politik kerana nyawa yang terkorban bukan permainan untuk diperalatkan.
“Masyarakat diseru agar jangan biarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan isu ini untuk mengadu domba ke arah kepentingan politik,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada individu akan dilindungi sekiranya terlibat dalam kes kematian adik Zara Qairina.
Jelasnya, isu buli, penderaan dan tekanan emosi dalam kalangan pelajar mesti ditangani secara menyeluruh walaupun tragedi kehilangan ini amat perit, apatah lagi jika berpunca daripada buli atau dera.
“Ia bukan sekadar meninggalkan luka di hati keluarga, tetapi juga mencetuskan trauma kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.
Namun, pada masa sama, Azizuddin turut mendesak kerajaan mengukuhkan sistem keselamatan pelajar di sekolah dan asrama, termasuk langkah pencegahan buli dan dera yang berkesan.
Selain itu, memperluas akses kaunseling bagi pelajar yang mengalami tekanan emosi, termasuk mewujudkan talian sokongan dan program bimbingan rakan sebaya serta mengukuhkan saluran aduan rahsia supaya pelajar berani melaporkan kes buli atau penderaan tanpa rasa takut. – MalaysiaGazette
















